Superwomanku!



Walaupun hampir 14 tahun abah pergi meninggalkan kami, tapi aku masih merindui abah. Seakan-akan baru semalam rasanya bersama arwah. Cukup segar dalam ingatanku. Biarpun ketika itu aku baru menginjak usia 13 tahun. Menjadi anak sulung mungkin tugas yang berat bagi sesetengah orang. Alhamdulillah, Allah permudahkan segalanya bagiku. Syukur dikurniakan seorang mama yang sangat tabah dan cekal dalam menghadapi liku-liku kehidupan. Mama lah "Superwoman" kami adik-beradik. Masih teringat hari di mana usainya pengebumian abah, mama menangis di hujung katil menatap gambar kami adik-beradik sambil berkata bagaimana dia nak membesarkan kami berempat tanpa abah di sisi. Walaupun aku masih kecil, aku dapat merasakan kesedihan dan kerisauan mama ketika itu. Tambahan pula adikku yang bongsu ketika itu masih lagi bayi. Sejenak terlintas di fikiranku kenapa abah mesti pergi dulu? Kenapa tidak abah orang lain? Lantas terdetik di hati mendoakan supaya orang lain juga tidak mempunyai abah seperti aku. Astaghfirullahalazim, berdosanya aku. Tapi aku akur dengan suratan Ilahi dan redha dengan pemergian abah tersayang. Dengan berat hati aku meneruskan persekolahanku di Kelantan dan meninggalkan mama kerana abah memang mahukan aku bersekolah di sana. 

Tinggal di asrama mengajar aku hidup berdikari. Pernah satu ketika rakan sekelasku membelanja aku di waktu rehat setelah mengetahui aku seorang anak yatim dan memulangkan kembali duit yang aku berikan kepadanya. Memang niatnya murni dan ikhlas tetapi tidak pada aku. Tetapi aku tetap berterima kasih kepadanya. Sejak peristiwa itu, aku tidak akan memberitahu bahawa aku seorang anak yatim yang kematian ayah. Seboleh-bolehnya aku akan mengelak dari menjawab soalan yang berkaitan dengan abah atau aku akan menjawab seperti aku masih mempunyai seorang abah. Dan yang paling penting sekali,aku akan cuba menjaga kelakuan aku supaya disenangi orang kerana aku tidak mahu orang menyalahkan mama. Biasa kalau kita tengok seseorang melakukan sesuatu yang tidak menyenangkan pasti soalan "anak siapa nih?" atau "mak bapak dia tak ajar ke?" akan dipersoalkam. Tipikal. Aku taknak orang mengata mama tak pandai mendidik anak ataupun orang melabel aku sebagai anak yatim. Entah kenapa mentaliti aku sebegitu. Tapi yang pasti itulah janji aku selepas kematian abah. 

Tahun silih berganti, dan kami adik beradik membesar dengan sempurna. Semuanya kerana rahmat Mu Ya Allah kerana memberi kekuatan dan kesihatan yang berpanjangan kepada mama. Mama tidak pernah menangis dan menunjukkan kesusahan di hadapan kami. Memang mama cekap menyembunyikan emosinya. Tapi aku tau bila dia berseorangan, dia akan menangis. Sehingga kini juga, air mata aku begitu mudah mengalir apabila bercakap atau teringat tentang abah. Aku juga tidak pernah meluahkan perasaan rindu aku kepada abah pada sesiapa hatta mama sekalipun melainkan Allah. Mungkin aku bimbang akan dianggap lemah? Aku pun tak pasti kenapa aku perlu berfikiran macam tu. *seriously*
Bila berseorangan sebelum tidur, kerinduan pada abah pasti akan datang. Tambahan pula aku menyewa bilik seorang. Kesunyian membuatkan rindu itu datang. Tapi pada siapa aku nak mengadu? *maksud aku manusia* Cuma air mata sahaja menjadi teman. Memang aku seorang yang suka memendam perasaan. Aku susah untuk meluahkan apa yang aku rasa. Apa yang aku sentiasa buat adalah menangis. Mungkin sebab aku tak nak orang ingat aku lemah. Jadi aku sembunyikan perasaan sebenar aku dan berlagak biasa.  Aku suka menangis! Aku cengeng! Tapi bukan di depan orang. Ianya satu terapi bagi aku. *wawa macam ni ke? Like, seriously???* kemain banyak tanda soal. hahahahaha... Tak, aku tipu. Sila jangan percaya. 

Dah, penat aku taip entri ni. Panjang gile sesi luahan perasaan kali ni. Ayat nak skema tak menahan. Aku syak aku boleh jadi seorang penulis berkaliber di masa akan datang. Pasni semua orang dah tahu dahla kan? Bajet kau retis orang nak baca blog kau? Hahaha. Bukan, aku dapat ilham nak menulis. So, aku tulisla dalam blog ni. Lagipon sapela nak baca sangat blog aku ni. *merendah diri*


Buat mama, terima kasih yang tak terhingga untuk segalanya. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa mama. Semoga Jannah milik mama. Insya-Allah!!